Thursday, December 01, 2011

My Fav Football Player


ALOR SETAR – Tonggak utama pasukan Kedah, Baddrol Bahktiar, 23, akan kekal bersama Kedah sehingga musim depan walaupun beliau menerima tawaran daripada kelab Liga Super Indonesia, Pelita Jaya.

Baddrol berkata tawaran seumpama itu sememangnya dinantikan kerana mahu menimba pengalaman baru dan meningkatkan mutu permainannya namun beliau masih mempunyai kontrak setahun bersama pasukan Kedah.

Katanya beliau akan berbincang dan menyerahkan perkara itu kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

“Apa-apapun saya serahkan kepada pihak pengurusan KFA untuk mempertimbangkannya sama ada nak lepaskan saya atau tidak. Saya juga perlu berbincang dengan keluarga terlebih dahulu sebelum menerima tawaran itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.

Baddrol yang juga ketua pasukan negara pada Sukan Sea XXVI berkata beliau turut menerima beberapa tawaran daripada pasukan tempatan iaitu Perak, Negeri Sembilan dan Sabah namun terpaksa melupakannya disebabkan terikat dengan kontrak.

Menurut laporan sebuah akhbar pada Selasa, Pasukan Pelita Jaya, Indonesia berminat terhadap Baddrol dan penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat berdasarkan prestasi hebat yang ditunjukkan mereka pada Sukan Sea yang lalu.

Penjaga gol kedua kebangsaan Farizal Marlias pula dipikat Persisam Putra Samarinda.

Sementara itu mengenai pemain import, Baddrol berkata beliau berharap mereka yang terpilih dapat bermain dengan bersungguh-sungguh membantu pasukan itu menjulang piala musim depan.

“Saya harap pemain import yang baru berkualiti tinggi dan memikul tanggungjawab besar peminat untuk membantu pasukan serta dapat bekerjasama baik dengan jurulatih pasukan dan pemain lain,” katanya. – BERNAMA


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...